Wednesday, 23 October 2013

Perokok Punca Jenayah Berleluasa? Oh... tidak!!!

Saya ada seorang abang yang merupakan perokok tegar. Boleh dikatakan sekotak rokok  boleh dihabiskan dalam masa sehari. Sudah “berbuih mulut” mak dan ayah nasihat supaya berhenti merokok. Namun masih gagal bahkan tabiat merokoknya semakin hari semakin kritikal. Mana tidaknya, gaji yang diperoleh setiap bulan hampir separuh digunakan untuk membeli rokok sahaja.



Bertambah teruk lagi apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga rokok baru-baru ini, sekotak mencecah sehingga RM12. Saya boleh bayangkan bagaimana peritnya hidup abang saya sebagai perokok tegar yang terpaksa menghabiskan banyak wang hanya untuk rokok sahaja. Nasib baik masih berstatus “bujang”  kalau sudah berumah tangga lagi peritlah hidup dia.

Kalau dulu saya selalu nampak kotak rokok abang dari jenama yang popular seperti Dunhill, Era dan Marlboro, tetapi sekarang saya nampak rokok yang abang beli dari jenama yang tidak pernah dilihat selama ini. Apabila ditanya, rupa-rupanya itu ialah rokok seludup. Murah pun murah. RM5 sahaja sekotak.


Terdetik di hati untuk menasihati abang supaya berhenti merokok. Merokok bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang kebaikan, bahkan boleh mengundang padah. Namun apakan daya saya hanyalah seorang adik. Justeru itu, saya luahkan isi hati menerusi laman blog ini.

Nak dijadikan cerita, baru-baru ini saya terbaca satu artikal yang menyatakan bahawa keuntungan daripada jualan rokok seludup digunakan untuk pembiayaan aktiviti jenayah. Bukan itu sahaja, Rokok seludup juga menyebabkan kerajaan kerugian cukai sebanyak RM2 billion. Bila perokok seperti abang saya membeli rokok seludup, mereka bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah malah dalam masa yang sama akan menyebabkan negara kerugian berbillion ringgit yang mana duit itu boleh digunakan untuk pembangunan dan membantu golongan yang susah.


Seram kan? Patutlah semenjak harga rokok semakin naik, semakin banyak jenayah yang berlaku di Malaysia. Perokok-perokok tegar akan tetap hisap rokok. Jadi, bila rokok sah sudah mahal maka rokok seludup pula jadi pilihan mereka. Sayangnya ramai yang tidak tahu bahawa penjualan rokok seludup adalah sebahagian daripada sindiket jenayah terancang secara global di Malaysia.

Dalam satu artikel NST yang saya pernah baca, keuntungan daripada penjualan rokok tidak sah ini digunakan untuk membiaya kegiatan kumpulan pengganas di seluruh dunia. Bukan kumpulan pengganas yang biasa mahupun tempatan. Memang menakutkan sungguh!

Jika ada di kalangan anda yang selama ini menghisap rokok seludup seperti abang saya, fikir-fikirkanlah mengenai tindakan anda. Merokok bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan anda, ia juga turut menyumbang kepada jenayah dan kejatuhan sosial masyarakat kita. Lagi banyak rokok seludup dijual, lagi tinggilah kadar jenayah yang akan berlaku di Malaysia. Adakah anda ingin menjadi salah seorang penyumbang kepada perkara ini? Jika tidak, adalah lebih baik jika anda berhenti merokok. Merokok hanya akan merosakkan hidup anda sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara.

No comments:

Post a Comment