Wednesday, 23 October 2013

Betul ke ini Negara Malaysia?

Bila diamati di sekitar Lembah Klang, ternyata warga asing telah mendominasi kawasan tersebut. Persoalannya kemana pergi warga tempatan? Adakah pihak kerajaan hanya berpeluk tubuh tanpa mengambil tindakan ke atas warga asing yang datang secara ‘HARAM’. Isu lambakan warga asing di negara ini bukanlah baru malah ia kian menghantui kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya apabila mereka mendominasi kawasan tertentu.


Di beberapa kawasan di Lembah Klang, warga asing yang kita sendiri tidak pasti statusnya sama ada pendatang tanpa izin, pemegang permit masuk yang sah atau pemilik taraf pemastautin tetap (PR) sudah menjadikan ia perkampungan kecil mereka.

Rakyat Malaysia sedia maklum dan tidak menafikan kepentingan warga asing untuk melicinkan kerja-kerja di sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah. Namun yang menjadi kegusaran apabila ada di kalangan mereka yang mula menjadikan kawasan tertentu sebagai perkampungan kecil hinggakan ada rakyat negara ini terasa seperti menumpang di negara sendiri.

Di kawasan perkampungan kecil itu, mereka umpama berada di negara kelahiran sendiri dan kebal dengan undang-undang apabila bebas menjalankan aktiviti seharian seperti mempunyai kedai runcit dan ketua kawasan sendiri. Ada pula kawasan yang sudah mereka duduki bertahun-tahun lamanya.


Ternyata lambakan warga asing meresahkan rakyat tempatan kerana boleh mengancam kesejahteraan sosial negara terutama dalam aspek kesihatan. Ini kerana, ada diantara pekerja asing yang masuk ke negara ini dengan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan. Kebanyakan pekerja asing adalah dari negara mundur dan mempunyai tahap pengawalan kesihatan yang rendah. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan telah mendedahkan bahawa 80 peratus pekerja asing disektor perladangan telah dikesan sebagai pembawa virus HIV.



Selain itu, kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal juga boleh mendatangkan impak kepada peningkatan indeks jenayah di Malaysia. Kelonggaran pengawasan di sempadan negara dan pengurusan yang kurang efisen terhadap pekerja asing terutamanya yang tidak sah telah menyebabkan aktiviti jenayah semakin berleluasa. Diantara aktiviti-aktiviti jenayah yang dikaitkan dengan pekerja asing ialah pergaduhan, rompakan, penyeludupan, pemerdagangan haram, pembunuhan dan juga pelacuran. Pada tahun 2008, Kementerian Dalam Negeri pernah melaporkan bahawa sebanyak 14,809 daripada 37,446 banduan di Malaysia adalah dikalangan pekerja asing yang tidak sah. Tidak mustahil angka ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.


Dalam arus kemodenan ini, keperluan kepada pekerja asing adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sumbangan mereka dalam membantu penjanaan ekonomi negara adalah masih relevan. Namun, apa yang lebih penting ialah kawalan dan penggubalan dasar pengambilan ini perlulah relevan dan selari dengan permintaan semasa supaya kemasukan mereka ini tidak mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment